Showing posts with label Artikel I Luv Islam. Show all posts
Showing posts with label Artikel I Luv Islam. Show all posts
Wednesday, 20 April 2011 0 comments

-Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia-

Ketika aku membuang masa duk belek google aku terjumpa artikel nie. aku rasa bagus untuk dikongsi bersama. Memang benar yang kita tidak akan merasa bahagia jika seseorang yang paling rapat dan dekat ngan kita sendiri tak bahagia kerana kebahagiaan itu akan terbina bersama dengan orang yang kita sayang. 
Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa si dia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.

Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic' – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibuk melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang "sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara...

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi si dia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

p/s: Bahagia Itu Apabila Membahagiakan. Janganlah bersikap mementingkan diri sendiri. Seandainya orang di sisi kita tidak bahagia dan murung, cuba la untuk membahagiakan dirinya. tak rugi pun kerna hasilnya adalah kita akan turut merasa bahagia bersamanya. 

0 comments

-Teguran Itu Penting-


Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh 

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba  menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup. 
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
 
Orang yang Ditegur


Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
 
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?. 
 
Yang Paling Penting

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
 
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

p/s: Sesiapapun yang menerima teguran, pasti akan rasa suatu perasaan yang tidak bagus dalam hati. Kalau kita mendapat teguran dari siapapun jangan terburu-buru merespons dengan sikap negative (marah), mungkin kekadang teguran tuhhh mendatangkan kebaikan buat kita. MARAH BUKAN KEBENCIAN TAPI TANDA SAYANG.
 
;